BAB 11

Sinopsis

  • Terengganu

Bab 11 mengisahkan Megat Panji Alam yang murka serta malu dengan tindakan Laksamana Hang Tuah yang telah melarikan tunang baginda, Tun Teja ke Melaka. Megat Panji Alam membawa Megat Kembar Ali dan mengumpulkan bala tentera seramai 4 ribu orang serta gajah Syah Kertas untuk menyerang negeri Melaka, walaupun ditegah ayahandanya Raja Terengganu.

  • Inderapura

Rombongan Megat Panji Alam telah singgah terlebih dahulu di Inderapura sebelum melancarkan serangan ke atas negeri Melaka. Ketibaan Megat Panji Alam di Inderapura telah disambut dengan meriah. Semasa majlis keramaian, Megat Panji Alam yang sedang mabuk itu telah mengeluarkan kata-kata cabaran terhadap Raja Melaka.

  • Melaka

Berita kemaraan mereka itu sampai ke pengetahuan Bendahara Paduka Raja melalui Hang Dolah yang baru sahaja pulang dari Inderapura. Lalu, Bendahara Paduka Raja pun segera mempersembahkan berita tersebut ke hadapan Raja Melaka. Bendahara Paduka Raja tidak ingin Megat Panji Alam sempat menjejakkan kaki ke Melaka lalu mencadangkan utusan menyusul ke Inderapura. Raja Melaka berkenan memerintahkan Laksamana Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi menyusul ke Inderapura.

  • Inderapura

Setiba mereka di Inderapura, Laksamana Hang Tuah memohon kepada Raja Inderapura untuk mengaturkan perjumpaan dengan Megat Panji Alam. Dua hari kemudian, kedua-dua pihak berjumpa di balai penghadapan Raja Inderapura. Hang Jebat dan Hang Kasturi hilang kesabaran dan terus menyerang Megat Panji Alam dan Megat Kembar Ali sehingga tewas. Raja Inderapura murka atas kelancangan Hang Jebat dan Hang Kasturi berperang di istana baginda lalu menitahkan mereka dibunuh. Namun, Laksamana Hang Tuah tidak membiarkan sahabat-sahabatnya dihukum lalu mencabar titah Raja Inderapura. Raja Inderapura gentar melihat kemarahan Laksamana Hang Tuah lalu baginda terpaksa mengalah. Laksamana Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi selamat kembali ke Melaka membawa Syah Kertas iaitu gajah Megat Panji Alam yang terkenal garang.

  • Melaka

Setiba di Melaka, Laksamana Hang Tuah dianugerahkan oleh Raja Melaka untuk menjaga Syah Kertas, manakala Hang Jebat dianugerahi Keris Pendua milik Megat Panji Alam dan Hang Kasturi pula dianugerahi Keris Pandak juga dimiliki Megat Panji Alam.

Latar Tempat

Antara latar tempat yang terdapat dalam bab 11 ialah:

  • Negeri Terengganu
  • Negeri Melaka
  • Negeri Inderapura

Watak

Antara watak yang terlibat dalam bab 11 ialah:

  • Megat Panji Alam
  • Laksamana Hang Tuah
  • Raja Inderapura
  • Bendahara Paduka Raja
  • Raja Melaka
  • Hang Jebat
  • Hang Kasturi
  • Hang Dolah
  • Sang Perdana
  • Sang Sura dan beberapa watak sampingan.