Sinopsis

Bab ini menceritakan mengenai Raja Melaka yang memerintahkan Tun Ratna Diraja dan Tun Maharaja Diraja pergi ke Sailan membeli permata untuk pakaian puteranya, iaitu Sultan Mahmud dan Sultan Ahmad. Ketika itu, Hang Tuah yang tidak diutuskan sebagai utusan diperintahkan mencari kawasan baru untuk dijadikan negeri bagi merajakan Sultan Ahmad. Hang Tuah telah menjumpai kawasan tersebut di Gunung Linggi.

Manakala, putera Raja Sailan iaitu Raja Culan telah datang ke Melaka untuk meminang puteri Raja Melaka, Puteri Gunung Ledang. Berbagai-bagai peristiwa yang berlaku ke atas Raja Culan dan juga peristiwa yang membabitkan Melaka. Di anataranya ialah anak Raja Sailan iaitu Raja Culan menjumpai telur ayam dan dikendungnya. Telur ayam itu menetas semasa dalam kendungannya. Ayam itu kemudian menjadi ayam jaguh yang tidak dapat dikalahkan oleh ayam-ayam jaguh lain di Sailan. Selain itu, Raja Sailan telah menghantar puteranya, Raja Culan ke Melaka untuk meminang Puteri Gunung Ledang. Raja Sailan telah berpesan kepada puteranya supaya menyembah Raja Melaka. Kedatangan Raja Culan ke Melaka disambut oleh Bendahara paduka Raja, Hang Tuah, dan Patih Kerma Wijaya dengan penuh adat kebesaran kerajaan Melaka. Hajat Raja Culan itu disampaikan melalui Hang Tuah dan Bendahara Paduka Raja. Selepas itu, Raja Culan ke Terengganu dan Patani.

Manakala, di Terengganu, Raja Culan berlabuh di Pulau Kapas dan memberitahu Raja Terengganu kedatangnya adalah untuk menyabung ayam jaguh dengan Raja Terengganu. Sebelum pertarungan ayam jaguh, Pak Si Molong iaitu jurubasuh ayam Raja Terengganu mencadangkan supaya menukar ayam dengan ayam Raja Culan. Selepas ditukar, berlakulah persabungan ayam antara ayam Raja Terengganu dengan ayam Raja Culan yang telah ditukar itu. Dalam sabungan tersebut, ayam Raja Terengganu telah mencungkil kedua-dua belah mata Pak Si Molong dan akibatnya Pak Si Molong buta. Untuk menebus malunya, Raja Terengganu memerintahkan supaya Pak Si Molong mencari ayam lain untuk disabungkan dengan ayam Raja Culan. Dengan bantuan anaknya, Pak Si Molong berjaya mendapat ayam yang baik yang dibeli daripada seorang perempuan. Raja Terengganu, Pak Si Molong, dan anaknya ke Pulau Sakti untuk bersabung ayam dengan Raja Culan. Pertaruhannya ialah Raja Terengganu akan menyerahkan sebelah negeri Terengganu kepada Raja Culan apabila kalah, manakala Raja Culan pula akan menyerahkan bahteranya serta isi kepada Raja Terengganu sekiranya ayamnya kalah. Dalam sabungan, ayam Raja Terengganu telah mati, manakala ayam Raja Cula pula terbang ke bahteranya sehingga telah menyebabkan bahteranya dan isiinya tenggelam di laut. Kemudian, ayam Raja Culan tersebut terbang pula ke istana Raja Terengganu dan telah menyebabkan istana tersebut terbakar selama 7 hari 7 malam. Akibatnya, negeri Terengganu menjadi huru-hara.

Berita malang mengenai Raja Culan sampai ke pengetahuan Raja Melaka. Baginda merasa murka, lalu menitahkan Laksamana Hang Tuah untuk menyerang negeri Terengganu. Terengganu dapat dikalahkan dengan mudah dan terpaksa menghantar ufti setiap tahun ke negeri Melaka. Sementara itu, Puteri Raja Terengganu iaitu Puteri Sekanda Jaya Leka telah dibawa ke Melaka dan dikahwinkan dengan Sultan Mahmud. Sultan Mahmud pula ditabalkan sebagai raja di Lingga. Sultan Ahmad pula dikahwinkan dengan Megat Maksum, iaitu anakanda Bendahara Terengganu. Sultan Ahmad pula dirajakan di Bentan.

Watak

Raja Melaka, Tun Ratna Diraja, Tun Maharaja Diraja, Raja Sailan, Bendahara Sailan, Syahbandar Sailan, Hang Tuah, Bendahara Paduka Raja, Raja Culan, Patih Kerma Wijaya, Raja Terengganu, Pak Si Molong, Anak Pak Si Molong, Puteri Gunung Ledang, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Puteri Sekanda Jaya Leka, Megat Maksum, Sultan Mahmud, Sultan Ahmad.

Latar Tempat

Melaka, Sailan, Linggi, Terengganu, Bentan.