BAB 14

Sinopsis

Mengisahkan tentang kepulangan Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi dari Majapahit. Mereka menyembahkan titah Betara Majapahit kepada Raja Melaka meminta supaya Raja Melaka datang ke Majapahit. Pada mulanya, Raja Melaka enggan pergi ke Majapahit tetapi setelah dinasihati oleh Hang Tuah dan Bendahara Paduka Raja, barulah Raja Melaka bersetuju untuk pergi ke Majapahit.

Raja Melaka membantah cadangan Patih Kerma Wijaya yang  menyarankan agar pegawai-pegawai tua sahaja yang mengiringi keberangkatan Raja Melaka ke Majapahit, malahan Raja Melaka menginginkan Hang Tuah dan sahabat- sahabatnya mengiringinya ke Majapahit.  Rombongan Raja Melaka berangkat menggunakan tiga buah perahu iaitu Mendam Berahi, Matatussafa dan Sairulalamin. Setelah beberapa lama belayar, datanglah rombongan Melaka di Majapahit dan disambut dengan penuh adat istiadat.

Patih Gajah Mada mengupah empat puluh orang upahan mengamuk ketika majlis makan diadakan. Kesemua pengamuk dapat ditewaskan oleh Hang Tuah, manakala Hang Jebat, Hang Kasturi dan Hang Lekir memastikan keselamatan Raja Melaka.  Setelah usaha itu gagal, Patih Gajah Mada  mengupah seorang perajurit iaitu Petala Bumi dan Barit Ketika untuk membunuh Hang Tuah.

Petala Bumi menyamar menjadi anjing besar, harimau dan raksasa dan Barit Ketika menyamar menjadi tikus dalam usaha untuk menewaskan Hang Tuah tetapi akhirnya Petala Bumi tetap tewas dan mati ditangan Hang Tuah. Sebelum kejadian itu, Petala Bumi menyuruh Barit Ketika untuk menjaga anaknya Kikir Sari jika ditakdirkan dia mati. Hal kematian Petala bumi dikhabarkan oleh Barit Ketika yang berjaya melarikan diri ketika pertempuran dengan Hang Tuah kepada Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada dan ini menyebabkan mereka hairan dengan kekuatan Hang Tuah.

Utusan daripada Melaka datang dan membawa khabar bahawa anak kepada Raja Melaka iaitu Raden Bahar sedang gering. Raja Melaka memohon diri berangkat pulang ke Melaka. Patih Gajah Mada mengupah Marga Paksi dan enam perajurit yang lain untuk mencuri harta kerajaan dan membunuh Hang Tuah.Dalam perjalanan pulang ke Melaka, rombongan Raja Melaka singgah di tuban dan semasa berada disana, Marga Paksi menumpang perahu rombongan Raja Melaka dengan alasan untuk menziarahi keluarga di Melaka.

Pada waktu malam, Marga Paksi dan enam perajurit yang lai keluar mencuri dan ini menyebabkan banyak harta benda rakyat dan kerajaan hilang. Hang Tuah menyamar sebagai seorang banduan yang lari dari tahanan dalam usaha untuk mengatasi masalah kecurian dan membunuh pencuri-pencuri tersebut. Hang Tuah berpura- pura mahu bekerjasama dengan Marga Paksi. Pada suatu hari, hang Tuah menyediakan minuman yang mengandungi racun. Hang Tuah berpura-pura minum dan mabuk untuk meyakinkan Marga Paksi dan enam perajurit tersebut. Marga Paksi dan enam perajurit tersebut mabuk dan Hang Tuah mengambil peluang itu membunuh mereka dan kesemua kepala Marga Paksi dan enam perajurit dibawa mengadap Raja Melaka. Harta benda yang dicuri diberikan kembali kepada tuan masing- masing dan Raja Melaka menitahkan membahagikan harta tersebut kepada tiga bahagian dan sebahagian lagi dihadiahkan kepada Hang Tuah. Namun, Hang Tuah mencadangkan harta itu dibahagi tujuh dan sebahagian sahaja daripada itu di ambil. Kemudian Hang Tuah membahagikan harta yang diterimanya kepada tiga, sebahagian untuknya, sebahagian untuk fakir miskin dan sebahagian lagi untuk pegawai- pegawai rendah.

 

Peristiwa penting

  • Kepulangan Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi dari Majapahit dan menyembahkan titah Betara Majapahit kepada Raja Melaka meminta supaya Raja Melaka datang ke Majapahit.
  • Raja Melaka menitahkan Hang Tuah dan sahabat- sahabatnya untuk mengiringinya ke Majapahit.
  • Rombongan Raja Melaka berangkat menggunakan tiga buah perahu iaitu Mendam Berahi, Matatussafa dan Sairulalamin.
  • Kedatangan rombongan Melaka di Majapahit disambut dengan penuh adat istiadat dan meriah.
  • Empat puluh orang yang diupah oleh Patih Gajah Mada mengamuk ketika majlis makan diadakan dan kesemuanya ditewaskan oleh Hang Tuah.
  • Patih Gajah Mada  mengupah seorang perajurit iaitu Petala Bumi dan Barit Ketika untuk membunuh Hang Tuah.
  • Petala Bumi menyamar menjadi anjing besar, harimau dan raksasa dan Barit Ketika menyamar menjadi tikus dalam usaha untuk menewaskan Hang Tuah.
  • Petala bumi mati ditangan Hang Tuah dan Barit Ketika berjaya melarikan diri.
  • Petala Bumi sempat menyuruh Barit Ketika untuk menjaga anaknya Kikir Sari jika dia mati kerana baginya anaknya adalah seorang yang istimewa.
  • Hal kematian Petala bumi dikhabarkan oleh Barit Ketika kepada Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada.
  • Patih Gajah Mada mengupah Marga Paksi dan enam perajurit yang lain untuk mencuri harta kerajaan.
  • Marga Paksi memasang muslihat dengan menumpang perahu rombongan Raja Melaka dengan alasan untuk menziarahi keluarga di Melaka.
  • Pada waktu malam, Marga Paksi keluar mencuri meyebabkan banyak harta benda kepunyaan kerajaan dan rakyat-rakyat yang lain hilang.
  • Hang Tuah menyamar menjadi seorang banduan yang lari dari tahanan dan berpura- pura mahu bekerjasama dengan Marga Paksi.
  • Hang Tuah membubuh racun dalam minuman.
  • Hang Tuah pura-pura mabuk.
  • Hang Tuah berjaya membunuh marga Paksi dan perajurit yang lain ketika mereka dalam keadaan mabuk dan berjaya menyembahkan kepala mereka kepada raja Melaka.
  • Harta yang dicuri dikembalikan.
  • Hang Tuah membahagikan sebahagian harta yang didapatnya kepada fakir miskin dan pegawai-pegawai rendah.

 

Watak

– Hang Tuah

– Hang Jebat

– Hang Kasturi

– Betara Majapahit

– Raja Melaka

–  Bendahara Paduka Raja

– Patih Kerma Wijaya

– Raden Bahar

–  Patih Gajah Mada

– Petala Bumi

–  Barit Ketika

–  Kikir sari

–  Sang Marga Paksi

–  Enam perajurit upahan

–  Beberapa watak sampingan

Latar Tempat:

–  Majapahit

– Melaka

– Tuban

–  Palembang

v  Jayakata.