Laman ini menyediakan beberapa petikan-petikan utama atau kata bual utama yang dianggap penting daripada Hikayat Hang Tuah.  Melalui petikan utama  ini dapat diketahui siapa yang berkata, di mana kata bual itu diucapkan, kepada siapa kata-kata itu ditujukan dan apakah peristiwa yang terjadi sebelum dan selepas.  Diharap petikan ini dapat membantu mengingati keseluruhan isi cerita serta peristiwa dalam epik ini.

 

Petikan 1

Hatta beberapa lamanya Sang Sapurba pun besarlah. Maka titah baginda pada isterinya, “ Ya adinda, akan sekarang anakanda kita pun sudahlah besar, patutlah ia menjadi raj. Aapun pada zaman kekanda, maka anak kita inilah akan jadi raja dalam dunia, aka menentukan asal raja, bahawa diturunkan Allah Taala menjadi raja datang kepada akhir zaman.” Maka kata Tuan Puteri, “Mana bicara kekandalah.”

(hlm: 6)

Petikan 2

Maka betara pun menyembah lalu masuk mengadap Sang Persata Dewa. Maka titah baginda, “Hai bentara, hendak kemana engkau dan apa pekerjaan anakku sekarang?”  Maka sembah bentara, “Ya tuanku, patik dititahkan berdatang sembah bahawa paduka anakanda beroleh seorang puteri terlalu elok rupanya.” Maka oleh bentara itu segala hal-ehwalnya semuanya dipersembahkan.

(hlm: 9)

Petikan 3

Maka sembah segala tuan-tuan itu, “ Daulat tuanku, patik sekalian ini hamba yang hina lagi daif hendak memohonkan ampun lagi kurnia ke bawah Duli Seri Maharaja. Jika ada kurnia akan patik sekalian ini memohonkan paduka anakanda seorang supaya patik sekalian pertuankan juga, tidak mahu bertuan ,lain daripada asal cucu Syah Alam.”

(hlm : 17)

Petikan 4

Maka dipeluk dan dicium oleh bonda baginda dan ditangisinya, katanya, “Ya anakku buah hatiku, adapun engkau di atas kerajaan itu, baik-baik memeliharakan segala rakyatmu: dan sangat-sangat periksamu akan segala tenteramu; jangan engkau takbur dan ngerun, kerana dunia tiada akan kekal melainkan nama baik itu juga yang kekal sesudah mati, supaya nama nenek moyang dan namaku pun disebut pada segala negeri yang lain.”

(hlm : 18)

Petikan 5

“ Adapun anak kita ini dipeliharakan baik-baik, jangan diberi bermain jauh, kerana ia sangat nakal. hendak kusuruhkan mengaji kerana mualim tiada; lagi pula ia tidak tahu bahasa. Sekarang baiklah kita pindah ke Bentan.”

(hlm: 22)

Petikan 6

“Kita lihat pun hairan, budak sepuluh tahun umurnya dapat mengembari orang mengamuk dengan kapak juga.” Kata seorang lagi, “ Sesungguhnya budak inilah akan menjadi hulubalang besar pada tanah Melayu ini.

(hlm :35)

Petikan 7

“Daulat Tuanku Syah Alam, patik persembahkan budak-budak ini ke bawah duli tuanku; sedangkan patik anak-beranak lagi hamba ke bawah duli tuanku, istimewa pula budak-budak lima itu. Syahadan budak-budak inilah yang patik persembahkan dahulu itu.

(hlm :40)

Petikan 8

“Ya Tuanku Syah Alam, ada patik dengar kata orang tua-tua patik, jika ada pelanduk putih pada hutan atau barang tempat sekalipun, baiklah tempat, patut diperbuat negeri; berdaulat negeri, tuanku.”

(hlm:67)

Petikan 9

Maka titah baginda, “Hai anakku, pada bicaraku, baik juga anakku pergi, kerana saudaramu itu, tiada berkapit; kerana segala raja-raja yang besar-besar jika tiada bersaudara dan berkapit nescaya mudah pada mata seterunya pada segala raja-raja yang takluk padanya. Sekarang baiklah anakku pergi.”

(hlm: 76-77)

Petikan 10

Maka disambut oleh Bentara Tun Jebat lalu dibacanya di hadapan raja perlahan-lahan. Setelah baginda mendengar bunyi dalam surat itu maka baginda pun berpaling memandang kepada Bentara Tun Tuah. Maka Tun Tuah pun menyembah seraya berkata, “Cih! Bukan orangnya dititahkan itu. Jika Si Tuah gerangan membawa titah tuannya, sehingga putih tulang tiada putih mata!”

(hlm: 115 – 116)

Petikan 11

Setelah Tun Teja mendengar kata tuan-tuan itu, maka Tun Teja menangis dan dukacita hatinya. Maka kata Tun Teja, “ Kita datang ini bukan kita hendak bersuamikan Raja Melaka. Yang suami kita Tun Tuah juga, kita datang dari Inderapura itu. Jika mati pun redalah; yang jadi isteri Raja Melaka itu mohonlah kita.

(hlm : 251)

Petikan 12

Maka titah raja, “Hai Laksamana, tuan puteri terlalu snagat hendak santap nyiur yang di dalam taman itu; maka seorang pun tiada bercakap naik pohon nyiur itu, terlalu tinggi. Adapun sama tengah nyiur itu dimakan anai-anai. Hendakpun kita tebag tiada diberi oleh mamak bendahara dan segala pegawai yang tua-tua. Kita tiadalah terbicarakan lagi.”

(hlm:276)

Petikan 13

Maka kata Patih, “Mengapa maka anak Laksamana tiada mahu minum?” Maka kata Laksamana, “Adapun firasat orang bijaksana dan berani itu, apabila ada suatu tandanya gerakan-gerakan dirasainya, maka hendaklah barang sesuatu makanan dan minuman itu diunduri; kerana segala hulubalang yang bijaksana dan berani itu, apabila makanan khayal itu tiada harus dimakan dan minum, seolah-olah daripada khayal itu berani ia. Pada hari ini manira akan memandang senjata dan melihat darah juga.”

(hlm:326)