Hang Tuah dikatakan berbangsa Cina.


Ramai di kalangan anggota masyarakat kita terutamanya orang-orang Melayu menganggap Hang Tuah adalah legenda pahlawan Melayu. Pada hakikat sebenarnya Hang Tuah bukanlah dari keturunan Melayu sebagaimana yang disangkakan. Itulah yang bakal dihuraikan dalam artikel ini.

Selama ini orang-orang Melayu telah terkeliru atau mungkin tertipu dengan kedudukan Hang Tuah sebagai legenda pahlawan Melayu yang dibangga-banggakan. Hang Tuah sebenarnya telah diMelayukan untuk tujuan kemegahan semacam bentuk yang tercatat pada Robin Hood.

Di dalam bilik-bilik darjah, dewan-dewan kuliah atau seminar bermotifkan sejarah atau kajian sejarah hanya membincangkan tentang kepahlawanan, kebijaksanaan serta kesetiaan Hang Tuah. Kisah Hang Tuah yang diagung-agungkan ini telah menenggelamkan keadaan sebenar tentang asal keturunannya.

Di kalangan masyarakat Melayu dewasa ini telah timbul semacam keraguan tentang pahlawan mereka ini, apabila penghormatan kepada pahlawan mereka mula dipersendakan dengan reaksi-reaksi melampau seperti kelihatan dalam filem Hang Tuah.

Keraguan terhadap kedudukan Hang Tuah sebagai pahlawan Melayu telah menghasilkan satu penyelidikan dijalankan terhadap asal usul keturunan secara hipotesis. Jika pepatah Melayu sendiri telah mengatakan ‘bahasa jiwa bangsa’ dan ‘manusia mati meninggalkan nama’ . Bagaimana pula kita hendak menafikan kenyataan ‘nama menunjukkan bangsa’. Bahasa ‘nama’ merupakan identifikasi yang cukup jelas untuk mengetahui jenis sesuatu bangsa itu.

Bukti yang dapat menerangkan asal-usul Hang Tuah setakat ini, hanyalah dapat disandarkan pada namanya. Oleh itu satu kajian secara hipotesis telah dijalankan dengan bersandarkan kepada ‘nama’ manusia untuk memperolehi jawapan tentang asal-usul Hang Tuah sebenarnya.

Dalam perbendaharaan nama-nama orang Melayu semasa zaman kesultanan Melaayu Melaka, tiada terdapat nama-nama seumpama Hang Tuah, Hang Kasturi, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu, ringkasnya ringkasan yang bermula dengan ‘Hang’. Sejarah juga telah mencatatkan nama-nama dari bangsa Cina yang bermula dengan Hang, Tan, Maa dan Lee. Ia bergantung kepada suku kaum atau asal-usul keturunan mereka dari wilayah tertentu dari China. Kemungkinan untuk mendakwa bahawa gelaran ‘Hang’ telah dianugerahkan oleh Raja-Raja Melayu juga tiada asasnya.

Mengikut kertas kerja yang dihasilkan oleh Mohd. Yunus Ibrahim dari Jabatan Sejarah UKM dengan tajuk ‘Melaka 1400-1511 Dari Aspek Kemasyarakatan,’ cuma menyatakan bahawa sesuatu penghormatan, ketaatan atau kedudukan adalah diberi gelaran seperti Bendahara, Paduka Raja, Temenggung, Laksamana, Shahbandar dan Mandulika.

Mengikut buku ‘Sejarah Melayu’ edisi W.G. Shellabear penerbitan Malaya Publishing House Ltd. Singapore halaman 123-131, menyatakan tentang Tun Perpatih Putih, iaitu utusan Sultan Mansur Shah ke negeri China telah membawa balik bersamanya seramai 500 orang dayang serta Puteri Hang Li Po. Sultan Mansur Shah dikatakan telah berkahwin dengan puteri dari China ini dan telah menghasilkan anak bernama Paduka Mamat.

Perkara yang menarik dari edisi W.G. Shellabear ini ialah munculnya nama puteri Hang Li Po. Hasil perkahwinan ‘campur’ antara puteri Hang Li Po dengan Sultan Mansur Shah, telah dikurniakan seorang putera dan telah diberi nama Paduka Mamat. Nama Paduka Mamat adalah nama Melayu dan tidak pula berlaku nama ‘Paduka Hang Mamat’ sebagai penghargaan kepada puteri Hang Li Po, contohnya. Sejarah telah membuktikan bahawa nama-nama dari keturunan Cina biasanya bermula dengan Hang, Tan, Maa dan Lee bergantung kepada suku kaum mereka dan dari wilayah tertentu asal mereka.

Jika dihubungkaitkan dengan nama Hang Tuah dari sebutan loghat Cina adalah berbunyi seperti Hang Too Ah. Nama Hang Jebat berbunyi Hang Jee Fatt, Hang Lekir pula seperti Hang Lee Ker, manakala Hang Lekiu seperti Hang Lee Kiew. Mengikut prosedur tentang suku kata nama bangsa atau keturunan Cina, biasanya cuma terdiri dari 3 suku kata sahaja. Nama Hang Kasturi pula diragui kerana 4 suku kata walaupun ia bermula dengan perkataan Hang. Perkataan Kasturi pula ada berbaurkan loghat bahasa Melayu.

Terdapat 3 andaian hasil kajian secara hipotesis yang dijalankan.

Pertama : Hang Kasturi adalah berbangsa Melayu tetapi bergaul rapat dengan anak cucu dari rombongan puteri Hang Li Po.

Kedua : Nama sebenarnya ialah Kasturi tetapi telah digelar Hang Kasturi oleh 4 orang rakan karibnya yang berketurunan Cina sehingga menjadi sebutan yang kekal.

Ketiga : Mungkin nama Cina sebenar Hang Kasturi sukar disebut oleh masyarakat tempatan. Oleh itu mereka telah memberikannya nama baru mengikut loghat orang Melayu tempatan dan nama ini telah diterima dengan baik oleh beliau.

Perkara lain yang menarik ialah petikan kertas kerja Ong Hak Ching. Jabatan Sejarah UKM ada mengatakan bahawa Sultan Mansur Shah telah memberikan tempat kediaaman di Bukit Cina kepada puteri Hang Li Po serta 500 orang dayang-dayangnya. Anak-anak cucu mereka digelar ‘biduanda Cina’ juga bermakna golongan yang dilindungi. Sama ada yang sudah memeluk Islam atau masih memeluk agama asal mereka.

Terdapat 3 andaian secara hipotesis mengenai hal ini.

Pertama : Tidak kesemua dari anggota rombongan puteri Hang Li Po yang memeluk agama Islam.

Kedua : Hang Too Ah, Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker, Hang Lee Kiew, adalah keturunan dari rombongan puteri Hang Li Po.

Ketiga : Keempat-empat sahabat ini kemudiannya telah memeluk agama Islam tetapi mengekalkan sebutan nama mengikut loghat bahasa Melayu atas sebab-sebab tertentu, seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

Hal yang lebih lanjut mengenai Hang Kasturi. Telah timbul percanggahan pendapat sejak dahulu lagi, sepertimana kajian secara hipotesis ini meragukan tentang nama sebenar Hang Kasturi. Percanggahan pendapat ini berlaku antara pengarang ‘Sejarah Melayu’ dan pengarang ‘Hikayat Hang Tuah’ mengenai siapa sebenarnya telah menderhaka kepada Sultan Melaka. Pengarang Sejarah Melayu menuduh Hang Kasturi manakala pengarang Hikayat Hang Tuah Pula menuduh Hang Jebat.

Pertama :Tersirat sesuatu hal yang unik dan tersembunyi tentang kedua-dua tokoh pahlawan ini sehingga tidak ada satu kata sepakat di kalangan kedua pengarang serta pakar sejarah lampau.

Kedua : Pengarang ‘Sejarah Melayu’ telah menggunakan bahan dalam penulisannya secara mengambil pendapat lisan dan tiada ada satu penyeledikan terperinci, kerana ia menyentuh kisah-kisah yang terlalu luas serta hal-hal yang menyeluruh.

Ketiga : Pengarang ‘Hikayat Hang Tuah’ adalah lebih formal kerana menggunakan semacam bentuk kajian sehingga dapat menggariskan hal-hal peribadi Hang Tuah secara lebih detail.

Hasil kajian secara hipotesis ini telah membuktikan pengarang Hikayat Hang Tuah mempunyai banyak kelebihan dan penulisannya tentang hal Hang Jebat yang telah menderhaka kepada Sultan, adalah diterima mengikut hukum asal. Rumusan daripada kajian yang dijalankan telah menghasilkan penemuan baru yang melibatkan kedudukan Hang Tuah sebagai legenda pahlawan Melayu. Mengikut kajian hipotesis ini, Hang Tuah merupakan pahlawan yang telah diMelayukan demi untuk kemegahan atau simbol kepada orang-orang Melayu. Kita lihat bagaimana hipotesis ini menerangkan asal-usul Hang Tuah.

Hang Tuah adalah anak cucu kepada keturunan rombongan puteri Hang Li Po yang datang ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah. Nama sebenar Hang Tuah ialah Hang Too Ah. Tetapi bertukar kepada nama sebutan Hang Tuah apabila pahlawan ini memeluk agama Islam dan berkhidmat kepada Sultan Melaka.PengIslaman Hang Tuah telah mempengaruhi 3 orang rakan karibnya iaitu Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker dan Hang Lee Kiew. Keempat-empat sahabat baik ini juga bergaul rapat dengan Kasturi, iaitu rakan sebaya mereka yang berbangsa Melayu. Mereka juga menggelar Kasturi dengan gelaran Hang Kasturi sebagai tanda satu persahabatan yang abadi.

Kelima-lima sahabat ini mula masyhur di kalangan istana apabila mereka menyelamatkan Bendahara dari serangan orang mengamuk. Mereka berlima kemudiannya memeluk agama Islam. Nama-nama mereka mengikut loghat Melayu telah tersebar dengan cepat dan meluas samada di kalangan istana atau orang-orang Melaka ketika itu termasuk nama Hang Kasturi.

Tiada bantahan yang pernah dibuat ketika itu kerana masyarakat Melayu zaman itu telahpun menganggap anak cucu dari rombongan puteri Hang Li Po sama seperti saudara Melayu mereka. Demikianlah serba ringkas kisah Hang Tuah yang berasal daripada keturunan puteri Hang Li Po dari kajian hipotesis ini.

Berdasarkan hipotesis ini juga bererti orang-orang Melayu telah kehilangan seorang pahlawan lagenda yang selama ini mereka bangga-banggakan. Walaupun demikian orang-orang Melayu telah terselamat daripada tuduhan menderhaka kepada Sultan. Hang Jebat atau nama asalnya Hang Jee Fatt yang telah menderhaka kepada Sultan bukanlah daripada keturunan orang Melayu Jati.

Berdasarkan hipotesis ini juga bererti orang-orang Melayu telah kehilangan seorang pahlawan lagenda yang selama ini mereka bangga-banggakan.Walaupun demikian orang-orang Melayu telah terselamat daripada tuduhan menderhaka kepada Sultan. Hang Jebat atau nama asalnya Hang Jee Fatt yang telah menderhaka kepada Sultan bukanlah daripada keturunan orang Melayu Jati?

( Sumber: Suara Anum.com)

Hang Tuah- antara SEJARAH, MITOS atau HIKAYAT?


Siapa tidak kenal dengan nama Hang Tuah, seorang pahlawan Melayu Melaka yang sifatnya ingin berbakti kepada Sultan Melaka dan terlalu menjunjung tinggi institusi kesultanan Raja Melaka.

Riwayat hidup Hang Tuah banyak diceritakan di dalam hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu yang dikarang oleh Tun Sri Lanang sekitar abad ke-15. Hikayat Hang Tuah adalah karya kesusteraan Melayu yang cuba dipaparkan oleh pengarang tentang sifat kepahlawanan Hang Tuah bersama 4 teman karibnya. Banyak episod-episod yang dilalui oleh beliau bersama teman-teman karibnya dari mula cerita beliau dilahirkan sehinggalah berakhirnya zaman kegemilangan Melaka – ditawan Portugis atau Peringgi.

Kebiasaannya sesuatu hikayat yang dikarang bersifat kearah menaikkan semangat dan terdapat unsur fantasi yang wewujudkan pemikiran berterusan tentang cerita yang dikarang. Dalam konteks tersebut, Hikayat Hang Tuah tidak dinafikan dapat menaikkan semangat keperwiraan bangsa Melayu. Unsur fantasi yang diselitkan juga boleh dianggap mitos. Istilah mitos berasal dari perkataan Yunani ‘Muthos’ iaitu cerita. Walaupun nampak benar dan ditambah mitos, namun terdapat banyak versi tentang Hang Tuah yang masih dipertikaikan kesahihan sejarah kewujudan pahlawan Melaka ini

“Tidak Hilang Melayu di Dunia” ungkapan Hang Tuah dalam   Hikayat Hang Tuah.

Asal-usul Hang Tuah menurut sejarah Melayu

Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu yang hidup pada masa pemerintahan Sultan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka bermula pada tahun 1400-1511). Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampong Sungai Duyong kira-kira dalam tahun 1444. Bapanya bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana.

Bagaimana Hang Tuah menjadi Laksamana – Hikayat Hang Tuah

Hang Tuah bersama empat orang kawannya – Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang. Hang Tuah telah jatuh cinta pada Melor, anak orang asli yang tinggal di Gunung Ledang dan menjadi pembantu Adiputra. Selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke kota Melaka.

Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato’ Bendahara daripada seorang lelaki yang sedang mengamuk. Dato’ Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke rumahnya dan seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana. Sejak itu Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan sehinggalah Hang Tuah mendapat gelaran Laksamana.

Versi ‘Hikajat Hang Tuah’ – terbitan Balai Pustaka, Jakarta (Cetakan ke-3, 1956)

Kisah kepahlawan nusantara ini dihuraikan di dalam 24 bab secara panjang lebar. Dari catatan pengantar, buku Hikayat ini disalin dari salah satu naskah tulis tangan huruf Arab. Pada sampul bahagian dalam ada tertulis – “Inilah hikayat Hang Tuah yang amat setia kepada tuannya dan terlalu sangat berbuat kebajikan kepada tuannya”.

Kisah dimulai dengan bab yang menguraikan asal-usul raja di Melaka atau Melayu. Terdapat seorang raja bernama Sang Pertala Dewa, yang akan mempunyai seorang anak dan dia akan menjadi raja di Bukit Seguntang. Keturunan-keturunan sang dewa inilah dengan segala kemuliaan yang dimiliki kemudian menjadi raja-raja di tanah Melayu.

Hang Mahmud telah mendengar khabar gembira tentang negeri Bintan, sudah mempunyai seorang raja, cucu Sang Pertala Dewa. Hang Mahmud pun bergegas mengajak isteri dan anaknya pindah ke sana. Di Bintan, Hang Tuah bertemu dan bersahabat dengan Hang Jebat, Hang Kesturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu. Kelima pemuda itu diceritakan selalu bersama-sama, seperti lima orang bersaudara.

Suatu hari, Hang Tuah mengusulkan pada keempat sahabatnya untuk pergi berlayar dan merantau bersama-sama. Di tengah pelayaran, mereka bertemu dan menundukkan tiga perahu yang ternyata adalah musuh Bintan dari Siantan. Kawanan tersebut tak lain adalah kaki tangan Patih Gajah Mada dari Majapahit yang ingin memperluas kekuasaan dengan merompak di Tanah Palembang. Akhirnya, lima sekawan itu diangkat menjadi abdi salah seorang pemimpin di negeri Bintan, yang dipanggil Bendahara Paduka Raja. Dari sinilah kisah perjuangan Hang Tuah yang akhirnya bergelar laksamana.

Seorang ahli sastera, Sir Richard Windstedt, pernah berkata bahawa karya sastra klasik seperti Hikayat Hang Tuah ini serupa dengan syair-syair kisah kepahlawanan yang banyak dihasilkan di Jawa pada abad ke-11. Karya-karya ini dikatakan mengubah sejarah menjadi mitos, atau sebaliknya mengubah mitos menjadi sejarah. Tokoh Hang Tuah sendiri pun tidak dapat dipastikan sebagai tokoh mitos atau sejarah, meskipun dalam sejarah Melayu (Malay annals) disebutkan Hang Tuah mati pada abad ke-15.

Kesahihan dan kebenaran

Persoalannya adalah sejauh manakah kesahihan cerita Hang Tuah dan Sultan Melaka didalam Hikayat, buku sejarah Melayu serta teater bangsawan. Adakah Hang Tuah dan Kesultanan Melayu Melaka wujud atau mitos semata-mata? Buktinya?

Ini persoalan besar yang ditimbulkan ramai pengkaji sejarah tempatan sama ada di kalangan rakyat biasa atau tokoh akademik sedangkan bukti nyata atau fizikal tidak menyokong kemegahan zaman kesultanan yang diceritakan dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah – antara persoalan yang ditimbulkan oleh saudara Yusri Abdul Malek – harian metro di dalam sebuah blog – Hang Tuah, sejarah atau lagenda?.

Tambah beliau lagi, di Melaka sahaja, yang menjadi lokasi zaman kegemilangan Sultan Melaka pada kurun ke-13 dan 14, tiada satu kubur atau makam sultan yang memerintah Melaka wujud begitu juga dengan beberapa pembesar atau orang kenamaan lain yang terkenal. Begitu juga ketiadaan monumen lain seperti tapak asal istana sultan dan barangan kebesarannya yang penting sebagai bukti sejarah. Apa yang ada di Melaka hanya peninggalan sejarah penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun sedangkan tinggalan sejarah kesultanan Melayu Melaka boleh dikatakan tiada langsung.

Jawapan – Portugis setelah menawan Melaka, telah mengarahkan pembinaan kota/kubu (A Famosa). Tembok kubu ini dibina dari batu-batu masjid-masjid yang telah dimusnahkan, tembok/kubu kota Melaka serta dari makan-makam diraja. Itulah sebabnya tiada catatan kewujudan makam Sultan/Pembesar di Melaka.

Bukti atau tinggalan sejarah penting dalam menjawab persoalan serta teori yang pelbagai selaras dengan sejarah dan hikayat. Walaupun Hikayat Hang Tuah mengandungi unsur-unsur fantasi yang menaikkan semangat bangsa, namun karangan hikayat harus berlandaskan cerita atau sejarah yang ada. Penulis yakin bahawa banyak versi cerita adalah betul, cuma ditokok tambah buat menyedapkan jalan cerita dan kesannya.

Polemik lain yang membawa kepada teori HANG TUAH DARI CINA, malah berbangsa Cina dan ditambah dengan sokongan fakta logik sejarah. Kekeliruan sedemikian wajib dikaji dan dihuraikan agar sejarah Hang Tuah dipelihara kesahihannya dan keasliannya.

Menurut sumber dari BERITA HARIAN pula, walaupun Hang Tuah disebut dalam Hikayat Hang Tuah yang tidak diketahui penulisnya dan juga dalam kitab Sejarah Melayu tulisan Tun Seri Lanang, laksamana masyhur Melaka ini dianggap sekadar watak ciptaan. Ceritanya juga dianggap sebagai modal penglipur lara untuk menghiburkan waktu senggang rakyat sejak dahulukala.

Antara hujah yang masih didebatkan adalah mengenai Sejarah Melayu itu yang ditulis kira-kira sekurun selepas kejatuhan empayar Melaka ke tangan Portugis. Tun Seri Lanang sendiri pun menulis berdasarkan cerita yang disampaikan leluhur dan kelompok masyarakat sebelumnya.

Segolongan ahli sejarah dan cendekiawan hari ini berpendapat bahawa naskhah yang menyentuh tentang Hang Tuah itu bukanlah histografi yang tepat. Lantaran digarap dalam pelbagai versi, menjadi sukar untuk para pengkaji menemui kata setuju terhadap pembuktian kewujudannya.

(Sumber : warisanhangtuah.blogspot.com)

Mengenai Keris Taming Sari

Kalau mengikut sejarah dahulu kala, orang yang terakhir memiliki keris ini adalah Hang Tuah di mana ia merupakan keris rasmi kerajaan Melaka dan layak dipegang oleh seorang yang bergelar Laksamana. Keajaiban keris ini seperti yang digambarkan dan diceritakan oleh rakyat-rakyat terdahulu ialah ia boleh berlegar-legar dan mencari mangsanya sendiri. Keris ini digambarkan amat indah kerana hulunya disaluti emas dan diperbuat daripada 20 jenis besi dan sebahagiannya daripada serpihan besi ganggang pintu Ka’abah. Semasa kegagalan Hang Tuah meminang Puteri gunung ledang, beliau telah memulangkan keris tersebut kepada Sultan Mahmud dan kemudiannya Sultan telah membawa keris tersebut bersama baginda ke Kampar. Ada yang mengisahkan keris ini hilang begitu sahaja tapi ada juga yang mengatakan keris ini dibawah jagaan Kesultanan Perak Sekarang…walaubagaimanapun keris taming sari yang kembali di persada siber ini…bukanlah keris yang dimaksudkan.

(sumber: kelabkeristamingsari.blogspt.com)

Keris ini adalah Keris Kerajaan bagi Jawatan Laksamana Melaka, yang akhir sekali dijawat oleh Hang Tuah.

Keseluruhan sarung keris ini diseliputi oleh dedaun emas.  Keris ini dihargai sebagai berkeupayaan untuk berlegar di udara ke mana-mana haluan dalam mengejar musuh.  Adalah dikatakan bahawa Hang Tuah memberi keris ini kepada Tun Mamat untuk dibawa balik mengadap Sultan pada masa itu kerana beliau terlalu malu untuk mengadap sendiri ke bawah Duli Sultan kerana gagal untuk mendapat Puteri Gunung Ledang untuk baginda.  Tatkala Sultan Mahmud meninggalkan Melaka baginda membawa keris ini bersama-sama baginda ke Kampar-Sumatera.  Kemudian baginda mengurniakan keris ini kepada anakanda baginda Raja Mudzaffar Shah, yang kemudiannya berangkat ke Perak.

(sumber: laman rasmi pejabat DYMM Sultan Perak)

Puteri Gunung Ledang


Kisah Puteri Gunung Ledang termaktub dalam dua buku lama, iaitu “Hikayat Hang Tuah” dan Sulalatus Salatin. Sulalatus Salatin lebih dikenali sebagai “Sejarah Melayu”. Buku Sejarah Melayu adalah lebih lama berbanding Hikayat Hang Tuah.

Dalam Sejarah Melayu, Puteri Gunung Ledang dikatakan amat cantik hingga diingini oleh Sultan Mahmud dari Kesultanan Melaka. Pendekar yang diutuskan meminang ialah Laksamana Hang Tuah, Tun Mamat dan beberapa orang lain. Semasa kecil, Hang Tuah berguru silat di atas Gunung Ledang dan biasa dengan jalan ke puncak Gunung Ledang. Akan tetapi kala ini, umurnya telah terlalu tua untuk ke puncak Gunung Ledang.

Dengan itu, Tun Mamat ditugaskan ke puncak dan menemui seorang nenek tua atau lebih dikenali sebagai nenek kebayan yang sebenarnya, samaran kepada Puteri Gunung Ledang. Puteri Gunung Ledang dikatakan menolak pinangan Sultan Mahmud dengan mengenakan tujuh syarat yang tak mampu ditunaikan, ialah:

  • 1 jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang.
  • 1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.
  • 7 dulang hati nyamuk.
  • 7 dulang hati kuman.
  • 7 tempayan air mata anak dara.
  • 7 tempayan air pinang muda.
  • 1 mangkuk darah Sultan Ahmad, iaitu anak Sultan Mahmud Shah, dan yang masih kanak-kanak lagi.

Semua syarat itu sanggup ditunaikan oleh Sultan Melaka kecuali darah puteranya.

Dalam Hikayat Hang Tuah, Sultan yang meminang dengan Puteri Gunung Ledang bukannya Sultan Mahmud, tetapi Sultan Mansor Shah.

(Dalam karya agungnya Sulalatus al-Salatin (Sejarah Melayu) Tun Sri Lanang mengisahkan tentang Sultan Mahmud yang setelah kematian isteri, berhasrat meminang Puteri Gunung Ledang. Baginda tidak mahu beristerikan puteri raja biasa kerana ia bererti sama dengan raja-raja lain. Baginda ingin tampil lain dari yang lain. Katanya, “…yang kita kehendaki barang yang tiada pada raja-raja yang lain, itulah yang hendak kita peristeri. Akan sekarang, kita hendak menyuruh meminang Puteri Gunung Ledang;…….” ).

Selain itu dalam Hikayat Hang Tuah, sahabat yang menderhaka ialah Hang Jebat. Akan tetapi dalam Sejarah Melayu, cerita Shellabear ialah Hang Kasturi.

(sumber : wikipedia : Puteri Gunung Ledang)

Tun Teja

Tun Teja Ratna Benggala atau Tun Teja, merupakan anak perempuan tunggal Bendahara Seri Amar Diraja dari Pahang ketika pemerintahan Sultan Abdul Ghaffur Syah, Sultan Pahang ketiga, sezaman dengan Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka ke 8. Tun Teja dikatakan terlalu elok rupa parasnya dan menjadi sebutan orang-orang yang berdagang di Pahang, namun begitu telah pun ditunangkan dengan Sultan Pahang. Khabar kecantikan Tun Teja hingga ke pengetahuan Sultan Mahmud Syah yang ketika itu telah pun kematian isterinya yang pertama, Tun Kecil. Baginda telah menghantar utusan peminangan ke Pahang namun ditolak oleh Bendahara Seri Amar Diraja berikutan pertunangan Tun Teja dengan Sultan Pahang.

Tun Teja disebut dalam dua hikayat Melayu lama, iaitu Hikayat Hang Tuah yang menyatakan Hang Tuahlah yang memujuk Tun Teja lari tetapi dalam Sejarah Melayu ia dikatakan Hang Nadim.

Tersebut pula kisah Hang Nadim yang merupakan Laksamana Melaka yang telah diutuskan ke India untuk membeli 40 gulung kain namun malangnya kapal beliau telah karam dipukul ribut. Bimbang akan kemurkaan Sultan Mahmud, Hang Nadim telah pergi ke Pahang untuk bertemu dengan Tun Teja. Sesampainya Hang Nadim ke Pahang, baliau telah membuat perhubungan dengan orang-orang istana hinggakan tiada orang curiga lagi akan niatnya. Tun Teja di pujuk rayu dan Hang Nadim menceritakan tentang kebaikan rupa paras Sultan Mahmud dan kegagahan kerajaan Melaka. Tun Teja termakan pujuk dan bersetuju untuk mengikut Hang Nadim pulang ke Melaka.

Hang Nadim merancang akan rancangan untuk melarikan Tun Teja ke Melaka dan perjalanannya memakan masa selama 40 hari. Sesampainya Hang Nadim ke Melaka, beliau telah meniarap dilantai balai istana denagn tangan seakan terikat kebelakang. Melalui kata-kata kiasan, tahulah baginda bahawa Hang Nadim telah berjaya memujuk Tun Teja ke Pahang dan akan dipersembahkan kepada baginda. Tun Teja dikahwini baginda dan dikurniakan seorang puteri, Tengku Amra Dewi.

Tun Teja telah jatuh gering yang berat dan mangkat sewaktu Portugis mula menyerang Melaka yang pada ketika itu Sultan Mahmud Syah dan orang-orang kerajaan Melaka berundur ke Muar, pada tahun 1511. Tun Teja telah dimakamkan di Merlimau, sekitar 24 km daripada bandar Melaka.

Berbeza dengan versi Hikayat Hang Tuah yang menyebut tentang Hang Tuah yang telah difitnah oleh orang-orang istana Melaka dan telah membawa diri ke Pahang setelah dinasihati oleh Bendahara Paduka Raja. Sesampai di Pahang, Hang Tuah telah membuat perhubungan dengan Bendahara Seri Buana iaitu ayahanda kepada Tun Teja dan Tun Jenal, adinda Tun Teja. Pada mulanya Tun Teja menolak akan pelawaan perhubungan dengan Hang Tuah namun setelah diberi ubat guna-guna melalui Dang Ratna, inang pengasuh Tun Teja yang juga menjadi ibu angkat Hang Tuah, Tun Teja telah jatuh cinta kepada pahlawan itu, walhal Tun Teja Telah pun bertunang dengan Megat Panji Alam, anak raja Terengganu.

Hang Tuah telah membuat pakatan untuk membawa Tun Teja ke Melaka melalui jalan laut, walau pun pada mulanya orang-orang Pahang berjaya menghidu akan tindakan Hang Tuah, diketuai oleh Tun Jenal. Namun angkatan tentera Pahang terpaksa berpatah balik setelah tiang kapal mereka patah dipanah oleh Hang Tuah. Sesampai di Melaka, Tun Teja diarak dengan gajah ke balairung seri istana Melaka. Tun Teja terperanjat kerana dipersembahkan kepada Sultan Mansur Syah, walhal kedatangannya ke Melaka adalah untuk mengahwini Hang Tuah. Namun setelah diberi sirih jampi oleh Hang Tuah, Tun Teja melupakan Hang Tuah dan akhirnya mengahwini Sultan Melaka, manakala Hang Tuah telah diampuni oleh Sultan Melaka dan dijadikan Laksamana.

Megat Panji Alam yang amat marah dengan kejadian yang menimpa tunangannya, telah mengambil keputusan untuk menyerang Melaka bersama 4000 tentera namun beliau singgah di Pahang untuk mengadap Sultan Pahang. Namun beliau dibunuh oleh Hang Jebat dan Hang Kasturi yang telah diarahkan oleh Hang Tuah yang telah dapat menghidu tindakan Megat Panji Alam. Sultan Pahang yang murka kerana gagal menjalinkan hubungan dengan Terengganu, telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap keluarga Tun Teja.

(sumber: wikipedia: Tun Teja)